Terbuka untuk langganan selama 21 hari, harga tawaran awal 50 sen seunit
AMANAH Mutual Bhd (AMB), anak syarikat Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) semalam melancarkan AMB Dana Nabeel, dana pasaran wang Islam pertama di negara ini dengan bernilai RM200 juta. Dana amanah berlandaskan syariah itu adalah dana pasaran wang terbuka bersaiz 400 juta unit dengan harga tawaran awal bernilai 50 sen seunit yang ditawarkan untuk langggan dalam tempoh 21 hari bermula semalam. AMB adalah syarikat milik Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata dana Islam yang dikeluarkan AMB itu adalah unik kerana ia juga terbuka untuk langgan syarikat atau badan korporat berbanding diperuntukkan khusus untuk langganan orang awam seperti kelazimannya.
Beliau berkata, dana itu juga adalah skim ke-17 AMB dan pihaknya berharap unit ditawarkan itu mendapat langganan baik pelabur.
“Ia adalah produk pasaran wang yang menjadi alternatif kepada pelabur yang selama ini hanya menyimpan wang di bank dengan mendapat kadar pulangan yang lebih tinggi,” katanya selepas pelancaran dana berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
Dana yang menjadikan Kadar Semalamam Bank Islam Mudharabah sebagai penanda aras itu dilancarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Pelabur individu disyaratkan membuat pelaburan awal minimum RM5,000 dan pelaburan tambahan minimum RM1,000 manakala pelabur korporat perlu membuat pelaburan awal minimum RM50,000 dan pelaburan tambahan minimum RM10,000.
AMB Dana Nabeel boleh dibeli di Ibu Pejabat AMB di Menara PNB, Jalan Tun Razak atau cawangan ASNB, cawangan Maybank, cawangan Bank Rakyat terpilih dan pejabat Apex Investment Services Bhd.
No comments:
Post a Comment