Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Saturday, October 2, 2010

Kejar Mat Rempit, Cif Inspektor maut

KOTA BHARU: “Mama, papa sudah tiada (meninggal), nanti Danish jaga mama,” begitu luahan hati Muhammad Danish Farhan, 4, kepada ibunya, Harlina Abdul Hadi, 31, selepas kematian suami, Cif Inspektor Mohd Khairul Zaini Zain, 31, yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Datuk Senu, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa yang mengetuai operasi mencegah lumba haram maut apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dan anggotanya mengejar kumpulan Mat Rempit yang cuba melepasi sekatan jalan dalam operasi berkenaan dengan mengekori motosikal kumpulan itu.


Bagaimanapun, ketika mengejar Mat Rempit itu yang membuat pusingan U, sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 44 tahun gagal berhenti bagi memberi laluan kepada mangsa menyebabkan kenderaan mereka bertembung.


Mangsa tercampak di tengah jalan dan cedera di kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.


Jenazah yang selamat dimandi dan disembahyangkan di Masjid Bukit Aman dibawa menaiki pesawat Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, jam 10 pagi semalam.


Menceritakan kejadian menimpa arwah suaminya, Harlina yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Sains Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berkata, berita kemalangan itu diketahui daripada bapa saudara suaminya pada malam kejadian.


“Pada malam kejadian, saya didatangi bapa saudara suami yang memberitahu arwah sudah tiada. Ketika itu, saya dapat rasakan suami sudah meninggal dunia kerana sudah biasa dengan ayat seperti itu. “Cuma saya bagai tidak percaya dengan kejadian itu kerana kami baru bertemu. Macam sekejap sangat saya tidak bercakap dengannya sebelum arwah keluar bertugas menaiki keretanya,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Panji di sini, semalam.


Sejurus menerima berita sedih itu, Harlina berkata, dia segera menaiki kereta bersama bapa saudaranya menuju ke HKL.


“Sebelum meninggalkan rumah kira-kira jam 9 malam, arwah suami melakukan rutin biasa iaitu mencium tangan dan bergurau dengan anak. Saya tidak nampak sebarang perbezaan sebelum arwah keluar.


“Namun, sebelum kejadian, arwah mengeluh dia begitu penat. “Saya tidak berprasangka buruk kerana tugas sebagai polis memang memerlukan komitmen tinggi, apatah lagi bekerja pada syif malam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails