Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Saturday, July 2, 2011

Sepupu Nik Aziz bersama 2800 lagi ahli Pas sertai Umno

PASIR PUTEH 2 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat Kelantan kini mula kembali menyokong Barisan Nasional (BN) setelah 2,800 ahli Pas menyertai UMNO di daerah Pasir Puteh.

Beliau berkata, penyertaan mereka membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Pas semakin berkurangan.

Katanya, keyakinan itu juga bersandarkan seramai lebih 20,000 rakyat hadir pada majlis perhimpunan bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Kampung Tok Nik, di sini.

“Seramai 2,800 ahli tinggalkan Pas dan pengundi Pasir Puteh sudah hilang keyakinan kepada Pas,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama rakyat itu, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin. Bekas ahli Pas berkenaan turut hadir pada majlis itu.

Najib berkata, antara ahli-ahli Pas yang menyertai UMNO itu ialah saudara kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu, Raja Abdullah Raja Mahmud.

Perdana Menteri turut meminta Raja Abdullah naik ke pentas bagi hadirin mengenalinya, yang disambut dengan sorakan para hadirin beserta laungan dan teriakan “Gelombang Merah”, iaitu gelombang perubahan untuk rakyat, cetusan UMNO Kelantan.

Ketika ditemui pemberita Raja Abdullah, 57, berkata beliau sudah serik ditipu kepimpinan Pas kerana tidak pernah tetap pendirian dalam perjuangan parti.

“Kalau dahulu, Pas kata wanita tidak boleh dicalonkan kerana ia bercanggah dengan Islam tetapi kini Pas membenarkannya demi perjuangan Islam,” kata bapa kepada 11 orang anak itu.

Beliau juga kesal apabila Pas sebelum ini menolak kerjasama dengan orang bukan Islam kerana kerjasama itu bercanggah dengan agama seperti yang dilakukan oleh BN dengan membentuk kerjasama dengan parti kaum Cina, MCA dan kaum India, MIC.

“Sekarang atas alasan untuk menjelaskan Islam, kini golongan yang Pas panggil “kafir” itu (dan) kerjasama dengan bukan Islam dibenarkan iaitu dengan DAP,” kata bekas tentera itu yang mengakui beliau tidak pernah mengundi UMNO-Barisan Nasional kerana menyokong Pas sepenuh hati sebelum ini.

Keyakinan Raja Abdullah terhadap Pas hilang apabila parti itu meninggalkan penubuhan negara Islam dan memperjuangkan negara berkebajikan yang jelas membuktikan Pas mudah tunduk kepada DAP.

Ditanya apakah pertalian saudara antara beliau dengan Mursyidul Am PAS itu, Raja Abdullah berkata: “Ayah saya saudara rapat kepada Nik Abdul Aziz kerana kami berketurunan Raja Jembal, iaitu keturunan kerabat Raja Kelantan lama yang banyak menggunakan Nik dalam nama keluarga.” - Bernama

1 comment:

  1. Nik Aziz sebenarnya berhajat nak jadi Sultan

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails