Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Friday, February 18, 2011

19 bukti Vs peguam pembelit + kesilapan isi borang

Anwar berhadapan 19 bukti

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my



Anwar Ibrahim berjalan bersama peguam belanya, Sankaran Nair (kiri) di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 17 Feb. - Bulu kemaluan, dua helai seluar dalam, sebidang permaidani dan cadar tilam antara 19 barang kes yang dikenal pasti oleh seorang ahli kimia pada perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Barang-barang kes yang disahkan satu persatu oleh Dr. Seah Lay Hong telah dihantar kepadanya oleh pihak polis untuk pemeriksaan termasuk yang dikemukakan semasa pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberi keterangan di mahkamah setahun lalu.

Menurut Lay Hong, 52, yang merupakan Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian DNA Divisyen Forensik, Jabatan Kimia, beliau menerima barang-barang itu daripada Deputi Supritendan Jude Blacious Pereira (kini Supritendan) sebanyak dua kali iaitu pada 30 Jun dan 1 Julai 2008.

Saksi pendakwa kelima itu berkata, pada 30 Jun 2008, beliau menerima 12 sampul surat yang masing-masing mengandungi bekas plastik berisi calitan putik kapas manakala pada 1 Julai 2008, beliau diserahkan dengan enam sampul surat serta dua bungkusan.

Dua bungkusan yang diterima masing-masing mengandungi sebidang permaidani pelbagai warna dan satu cadar tilam berwarna biru.

Enam sampul surat pula masing-masing mengandungi bulu kemaluan, sehelai seluar panjang hitam, sehelai baju lengan panjang warna biru jenama Ralph Lauren, dua helai seluar dalam jenama Levi's warna biru dan kelabu serta sehelai baju lengan panjang hijau jenama G2000.

Pakaian-pakaian tersebut telah ditunjukkan di mahkamah semasa Mohd. Saiful Bukhari memberi keterangan pada 5 Februari tahun lalu.

Semasa barang-barang kes itu dikenal pasti, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin yang mengendalikan pemeriksaan utama terhadap saksi tersebut, peguam Ram Karpal Singh dan Sankara Nair masing-masing memakai sarung tangan getah.

Turut hadir di mahkamah ialah pakar asid deoksiribonukleik (DNA) dari Australia, Dr. Brian McDonald yang membantu pasukan pembelaan.

Sepanjang saksi itu memberi keterangan, Anwar di kandang saksi pula dilihat tekun membaca majalah luar negara dan sesekali dilihat menoleh kepada isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di galeri awam.

Dalam keterangannya, Lay Hong berkata, kumpulan pertama barang-barang tersebut yang diambil pada 28 Jun 2008 telah diperiksa pada 1 Julai 2008 manakala kumpulan kedua barang-barang itu diperiksa pada 2 Julai dan pemeriksaan berakhir pada 5 Julai 2008.

Terdahulu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menolak permohonan pihak pendakwaan supaya salah satu borang penyerahan barang bukti (Borang Pol 31) ditandakan sebagai barang bukti setelah membenarkan bantahan pihak pembelaan.

Hakim tersebut bersetuju dengan hujah peguam bela memandangkan borang yang telah diubah kandungannya tidak diserahkan kepada pasukan pembelaan sebelum perbicaraan maka ia tidak boleh diterima masuk sebagai bukti.

Malah untuk menandanya sebagai IDD (bukti yang akan diterima masuk selepas disahkan) juga adalah tidak wajar kerana ia tidak mungkin akan dapat ditanda sebagai P (bukti yang telah disahkan).

Pihak pendakwaan sebelum itu berhasrat untuk menandakan borang itu sebagai 'P25' walaupun terdapat kesilapan tarikh pada dokumen tersebut yang mana tarikh yang tercatat ialah 28 Ogos 2008 sedangkan ia sepatutnya bertarikh 28 Jun 2008.

Selain itu, tulisan 'B12' pada salah satu bungkusan yang diterima daripada pihak polis juga telah ditukar kepada 'B11'.

Ram Karpal mengemukakan bantahan mengikut Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah kerana salinan borang yang diterima oleh mereka sebelum perbicaraan adalah borang yang belum diubah dan bukannya borang yang dikemukakan ke mahkamah pada hari ini.

Justeru, kata peguam itu, dokumen asal yang tidak dikemukakan salinannya kepada pasukan pembelaan tidak boleh ditanda sebagai barang bukti.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dalam hujah balasnya pula menegaskan apa yang penting bukanlah dokumen tersebut tetapi barang bukti yang diperiksa kerana akhirnya yang diambil kira adalah keterangan lisan saksi terbabit di mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails