KUALA LUMPUR 8 Nov. - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan untuk meminda notis rayuan berhubung pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Syariah di sini.
Anwar yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Mohammad memfailkan notis itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah melalui peguamnya yang diketuai Kamar Ainiah Kamaruzaman.
Beliau yang turut diwakili peguam Dorina Abdullah memohon untuk memindanya dengan memasukkan perkataan "keseluruhan" yang dikatakan telah tercicir dalam notis rayuan yang dibuat pada 23 April lalu.
Ketika ditemui pemberita, Kamar Ainiah memberitahu pihaknya memfailkannya selepas mendapati perkataan "keseluruhan" itu tiada, selain memastikan proses berjalan lancar pada hari hujahan rayuan itu yang dijangkakan pada Jan tahun depan.
"Pihak kami memfailkan pindaan itu berhubung satu perenggan yang menyatakan "tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment