BOLTON (England): Pengurus Liverpool, Roy Hodgson membawa skuad bermasalahnya bermain menentang Bolton Wanderers hari ini dengan penuh keyakinan bahawa pasukan The Reds itu masih pilihan utama buat pemain terhebat dunia.
Sekalipun menghuni zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris dengan hanya dua kemenangan setakat ini, Hodgson yakin keinginan kuat untuk berhijrah ke Anfield cukup untuk membantunya memperkasakan skuadnya dengan tambahan beberapa pemain bertaraf dunia apabila pintu perpindahan dibuka kembali Januari ini.
Sejak menggantikan Rafa Benitez awal musim ini, Hodgson tidak pernah menyembunyikan kebimbangannya mengenai kelemahan skuadnya, lantas beliau mahu membawa masuk beberapa pemain baru.
Bagaimanapun, selepas perbincangan dengan pemilik baru Liverpool, New England Sports Ventures (NESV), Hodgson enggan menabur janji dalam usahanya membantu Liverpool kembali ke puncak bola sepak Inggeris.
Pemilik bersama Liverpool, John W Henry memberi jaminan kepada penyokong kelab bahawa pemain bintang utama kelab itu tidak akan ke mana-mana Januari ini dan Hodgson yakin beliau boleh membeli - tapi hanya apabila penilaian Liverpool terhadap seseorang pemain dilakukan.
“Jika kami mahukan pemain berkualiti, kami perlu bersedia untuk membayar harga yang tepat,” katanya.
“Pemilik arif mengenainya. Kami mahu memastikan jika kami membelanjakan �20 juta (RM99.7 juta), kami akan mendapat pemain bertaraf �20 juta.
“Kami mahu memikat pemain yang diburu kelab seperti Barcelona, Real Madrid dan Inter. Adalah bagus memikirkan kami boleh berbelanja pada peringkat tertinggi.
“Saya seperti semua pengurus berhati-hati mengenai pintu perpindahan Januari. Saya fikir ia mungkin berbahaya ketika kelab cuba memperbaiki kesilapan.” - AFP
Man City tgh cube nak pancing Torres tue!!!
ReplyDelete