TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yakin skuad Olimpik negara tidak berdepan masalah untuk menewaskan Pakistan pada perlawanan kedua pusingan kelayakan Olimpik 2012 di Lahore, Rabu ini.
Katanya, dengan persiapan rapi dan juga kekuatan dimiliki skuad kendalian Ong Kim Swee itu, skuad negara perlu mencatat keputusan meyakinkan untuk menyuntik semangat sebelum menghadapi pusingan kedua yang lebih mencabar.
“Pasukan ini sudah menjalani persiapan terbaik sebelum perlawanan kedua dengan Pakistan, malah pasukan-pasukan seperti Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan juga Harimau Muda A sendiri terpaksa mengorbankan beberapa pemain pada perlawanan Piala FA untuk memberi laluan kepada latihan skuad ini.
“Kami harap pemain mempemerkan permainan terbaik kerana pada pandangan saya, pasukan negara tidak berdepan masalah untuk menang apatah lagi dengan bekalan dua gol.
“Saingan kelayakan Olimpik lebih sukar berbanding dulu dan pasukan negara perlu memperbaiki permainan kerana jika layak, saingan pasti lebih mencabar,” katanya.
Skuad Olimpik negara berlepas ke Lahore hari ini bagi aksi perlawanan timbal balik selepas menang 2-0 di Stadium Shah Alam, 23 Februari lalu.
Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hadir pada majlis ramah mesra pasukan itu bersama peminat di Alhamra Farm Sg Pendek, Hulu Langat, semalam.
No comments:
Post a Comment