Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Saturday, March 26, 2011

Bukti video seks hampir siap: polis

Bukti rakaman percepatkan siasatan

Oleh ANGELINA SINYANG, SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM dan ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin siasatan kes rakaman video seks melibatkan pemimpin pembangkang dapat diselesaikan secepat mungkin berikutan bukti- bukti yang telah diperoleh pasukan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, berdasarkan maklumat dan bukti-bukti tersebut, siasatan pihaknya nanti akan bertumpu kepada dua perkara.

"Perkara pertama yang akan lihat adalah siapa yang berada dalam video itu dan yang kedua, bagaimana video ini boleh muncul.

"Kita juga percaya ada perkara-perkara lain yang boleh membantu selepas siasatan lanjut nanti," katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, di sini hari ini.

Setakat ini, maklumat yang diperoleh oleh polis adalah menerusi dua individu yang telah menyerahkan rakaman video berkenaan setelah mereka dan seorang lagi individu membuat pendedahan mengejutkan baru-baru ini.

Selain itu, polis juga menjalankan siasatan di tempat kejadian iaitu hotel yang mana rakaman itu dilakukan.

Hari ini, puluhan wartawan dan jurugambar berkumpul di luar pekarangan sebuah hotel apartmen yang terletak di Jalan Ampang Hilir berikutan dakwaan bahawa lokasi rakaman itu dijalankan di situ.

Namun, kumpulan media itu hampa kerana tiada kelibat pasukan polis atau mana-mana pihak berkuasa dilihat berada atau keluar masuk di premis itu.

Ismail dalam pada itu berkata, siasatan dilakukan secara menyeluruh dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan yang menimbulkan salah faham.

Ditanya tentang kehadiran bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah ke Ibu Pejabat Bukit Aman semalam, Ismail mengesahkan mereka berdua dipanggil untuk memberi keterangan.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan telah menahan dua individu dan memperoleh beberapa barang bukti daripada mereka.

"Salah seorang individu juga telah mendedahkan tempat di mana rakaman perlakuan seks itu berlaku. Polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian bersama unit Forensik PDRM," kata Setiausahanya, Datuk Ghazali Md. Amin.

Ghazali berkata, kedua- dua individu terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan kes itu masih diteruskan.

Sementara itu, Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim ketika dihubungi mengaku telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan petang ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails