KUCHING 5 April - Pas meletakkan dua wanita dalam kalangan lima calon parti itu bagi pilihan raya negeri Sarawak yang akan berlangsung 16 April ini.
Jurucakap Badan Perhubungan Pas negeri Sarawak memberitahu Bernama di sini hari ini, Nani Sahori akan diletakkan di kawasan DUN Tanjung Datu manakala Noraini Hamzah pula bagi kerusi DUN Muara Tuang.
Kerusi DUN Tanjung Datu akan dipertahankan oleh Ketua Pegawai Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Penasihat Khas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem manakala DUN Muara Tuang pula oleh Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud, kedua-duanya daripada Barisan Nasional (BN).
Tiga lagi calon yang akan menjadi taruhan Pas ialah Abang Eddy Allyanny bagi kerusi DUN Sadong Jaya, Pesuruhjaya Pas Sarawak, Adam Ahid bagi DUN Sebuyau dan Abang Ahmad Kerdee Abang Masadus bagi DUN Beting Maro.
Ketiga-tiga kawasan itu juga merupakan kawasan BN yang dimenangi oleh PBB, salah sebuah daripada parti komponennya. - Bernama
No comments:
Post a Comment