BINTULU 9 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan agar rakyat di Sarawak tidak menggadaikan masa depan mereka dengan mempercayai janji-janji manis yang ditabur pembangkang dalam kempen pilihan raya sekarang.
"Masa depan kita, kita tak boleh gadai hanya kerana dengar cakap dia lagi hebat, dia (pembangkang) menjanjikan bulan dan matahari... ini bukan main-main... ini masa depan anak-anak kita,” katanya semasa berucap sebelum melancarkan 12 pusat prasekolah Sedidik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Rumah Panjang Sait, Tatau dekat sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, keadaan pihak pembangkang sekarang umpama “nyawa-nyawa ikan” dan mereka hanya datang ke Sarawak untuk “menagih nyawa” sebagai bekalan untuk meneruskan hidup.
Selain itu, beliau berkata, antara kandungan manifesto pembangkang yang menjanjikan elaun sebanyak RM200 diberikan kepada setiap pelajar di Sarawak juga umpama “cakap tidak serupa bikin”.
"Saya tanya kenapa mahu bagi kepada orang Sarawak sahaja, yang dia sudah jadi kerajaan di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dia tak bagi satu sen pun," katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment