Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Friday, April 1, 2011

Tarikh pilihanraya umum diputuskan 16 April ini

01/04/2011 7:23pm


KUALA LUMPUR 1 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

"Kami lihat Sarawak (pilihan raya negeri) dulu dan selepas tu barulah kami putuskan bilakah waktu terbaik untuknya (mengadakan pilihan raya umum ke-13).

“Kami ikut sistem British dan kami boleh putuskan bila hendak mengadakannya, asalkan tidak melebihi tempoh lima tahun,” kata beliau.

Dalam wawancara dengan Bloomberg mengenai pencapaian beliau setelah dua tahun menerajui negara yang disiarkan hari ini, Najib ditanya sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya awal sekiranya Barisan Nasional (BN) mencapai keputusan cemerlang pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.

Apabila diminta memberi bayangan bilakah pilihan raya umum akan diadakan, beliau berkata, “ramai yang ingin tahu tentang perkara itu, jadi biarlah saya tidak beri jawapannya sekarang.”

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata parti gabungan itu telah mencatat keputusan cemerlang pada beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

"Sebenarnya, kami mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang daripada segi pilihan raya kecil. Beberapa pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini mempamerkan keputusan yang amat positif bagi kerajaan BN,” katanya.

BN menang lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008, termasuk lima yang dimenanginya dengan majoriti lebih besar pada 2010.

Ditanya sejauh mana BN yakin akan memenangi pilihan raya negeri Sarawak, Najib berkata rakyat di negeri itu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka dan dalam konteks ini, mereka dapati hanya kerajaan BN yang mampu berbuat demikian.

"Setiap rakyat tentu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka. Saya rasa perkara ini paling penting bagi Sarawak kerana negeri itu memerlukan lebih banyak pembangunan prasarana dan kemudahan asas.

“Saya rasa rakyat Sarawak akan melihat Barisan Nasional sebagai satu-satunya kerajaan yang mampu berkhidmat untuk negeri itu,” katanya.

Najib berkata beliau tidak fikir BN menghadapi risiko kehilangan kuasa (di peringkat persekutuan) memandangkan dalam tempoh beberapa tahun lepas, semakin ramai rakyat yang memberi sokongan kepada BN.

"Mereka yang meninggalkan kami pada pilihan raya lepas kini kembali menunjukkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional. Ini tidak bererti kami boleh mengambil mudah. Pada setiap pilihan raya, pasti ada cabarannya,” kata beliau.

Najib berkata beliau berpendapat pilihan raya umum akan datang pasti sengit dan BN perlu bersiap sedia untuk menghadapinya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails