Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Thursday, September 2, 2010

Kontrak Ketua Polis Negara tidak disambung

PUTRAJAYA: Tan Sri Ismail Omar dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baru, menggantikan Tan Sri Musa Hassan, berkuat kuasa 13 September ini, demikian diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Katanya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Hussin Ismail, 57, akan mengambil alih jawatan Timbalan KPN daripada Ismail, 57.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi tentang kontrak perkhidmatan Musa yang tamat pada 12 September ini selepas berkhidmat selama 41 tahun bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali.


"Jawatan KPN dan timbalannya adalah Jawatan Khas di bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, di mana pelantikan tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Hishammudin ketika mengumumkan perkara itu di sini.


Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mendapatkan perkenan Baginda dalam masa terdekat ini.


Menjawab soalan pemberita, Hishammuddin berkata, keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Musa bagi kali ketiga juga tidak kena mengena langsung dengan tekanan oleh mana-mana pihak.


"Formaliti sebagai KPN kebetulan tamat pada 12 September ini. Sudah tiba masa untuk pengganti mengisi jawatan itu bagi memastikan pasukan polis yang lebih kukuh dan keselamatan negara terus terjamin," katanya.


Katanya, beliau bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi perghargaaan kepada Musa sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM.


Hishammuddin berkata, kerajaan juga sedang melihat ruang untuk membolehkan Musa terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya kepada kerajaan dan negara selepas ini.


Beliau berkata, Musa juga adalah calon terbaik untuk mengetuai inisiatif penubuhan Akademi Latihan di Langkawi International Shooting Range (Lisram) bagi menangani isu serta ancaman jenayah merentasi sempadan.


Pusat latihan bersepadu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi keselamatan itu bagi menangani jenayah siber, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram, anti-keganasan, senjata biologi dan bahan letupan.


"Saya sangat berbesar hati sekiranya Musa dapat mengetuai penubuhan akademi ini dari peringkat awal lagi dan saya percaya beliau akan berupaya untuk membantu merintis pusat ini menjadi Akademi Latihan yang tersohor dan diiktiraf dunia," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails