Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Thursday, September 30, 2010

Adun Pas miliki harta lebih RM 3juta

KOTA BHARU 28 Sept. - Bekas isteri kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, yakin wakil rakyat tersebut mempunyai harta berjumlah lebih RM3 juta.

Siti Aishah Chou Abdullah, 26, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, keyakinannya itu berdasarkan apa yang pernah diceritakan oleh Wan Ismail sepanjang mereka hidup sebagai suami isteri.

''Defendan (Wan Ismail) memberitahu beliau memiliki banyak harta termasuk tanah, projek-projek di Gua Musang, simpanan wang tunai di bank, perniagaan di China dan sebagainya namun dia tidak tunjukkan sebarang dokumen berkaitan kepada saya,'' katanya.

Dia menyatakan demikian pada perbicaraan kes tuntutan mutaah RM3 juta yang dikemukakan ke atas bekas suaminya itu. Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Abdullah Man.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan peguam syarie defendan, Mohd. Raziman Yaakub, Siti Aishah mengaku dia tidak mempunyai dokumen untuk membuktikan dakwaan pemilikan harta termasuk simpanan saham amanah dalam Public Mutual Berhad.

''Saya tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen berkaitan tetapi saya percaya dengan ceritanya kerana memberitahu hal yang sama lebih daripada sekali.

''Defendan juga pernah memaklumkan kepada saya, kebanyakan harta-harta yang dimilikinya bukan atas namanya kerana beliau seorang wakil rakyat,'' katanya.

Plaintif juga memaklumkan bekas suaminya itu tidak pernah menawarkan sebarang sagu hati selepas dia mengemukakan tuntutan mutaah.

Keterangan plaintif mengenai pemilikan harta oleh bekas suaminya bagaimanapun menimbulkan persoalan kepada Abdullah sehingga bertanyakan kesahihan dakwaan yang dibuatnya.

Peguam syarie mewakili Aishah, Mohd. Sabri Ismail memberi jaminan bahawa anak guamnya akan mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan aset defendan pada perbicaraan akan datang.

Abdullah kemudian menetapkan perbicaraan bersambung pada 8 dan 9 Mac tahun hadapan.

Siti Aishah, 25, yang berketurunan Cina Kemboja dan Wan Ismail, 55, berkahwin pada 1 November 2004 dan disahkan bercerai pada 18 November 2008.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Wan Ahmad Firdaus, 5, dan Wan Nor Salwa, 4.

Berdasarkan tuntutan yang difailkan pada 4 Januari lalu, Siti Aishah dari Wakaf Mek Zainab di sini menuntut defendan membayar RM3 juta sebagai pampasan perceraian mereka mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails