Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Thursday, September 2, 2010

Masalah sempadan punca warga Indonesia musuhi Malaysia

JAKARTA 2 Sept. – Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mahu masalah sempadan darat dan laut antara Indonesia dan Malaysia diselesaikan segera dalam usaha memelihara hubungan dua hala yang baik antara Kuala Lumpur dan Jakarta.

Katanya, Indonesia akan terus menggesa Malaysia menyelesaikan perundingan mengenai masalah sempadan yang sering mencetuskan konflik dan ketegangan.

"Oleh itu, ketegangan yang tidak perlu dapat dicegah dan yakin hubungan dan kerjasama dua hala yang baik dapat dikekalkan,” katanya dalam perutusan kepada rakyat Indonesia menerusi siaran langsung televisyen malam tadi.

Perutusan ucapan presiden itu adalah sebagai penjelasan kepada rakyat Indonesia berhubung insiden 13 Ogos lalu yang menimbulkan kemarahan rakyatnya terhadap Malaysia yang didakwa merendahkan martabat dan kedaulatan negara itu.

Pada insiden itu, bahagian penguatkuasaan Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguat kuasa kementerian Indonesia itu.

Ekoran kejadian itu, 37 rakyat Indonesia dari satu kumpulan dikenali Bendera berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan melontar najis manusia ke dalam kawasan kedutaan.

Dalam menangani insiden 13 Ogos itu, Susilo berkata, beliau menghantar surat pada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang inti sarinya menyatakan keprihatinan mendalam Indonesia berhubung insiden itu serta menggesa Malaysia mempercepatkan proses penyelesaian masalah batasan maritim.

Beliau turut meminta rakyatnya supaya mengelak daripada melakukan tindakan kekerasan kerana ia akan menambah lagi masalah yang sedia ada.

"Oleh itu, marilah kita tetap memperjuangkan kepentingan nasional kita, karakter dan peranan internasional Indonesia yang konstruktif dan semangat untuk memelihara perdamaian, terus kita jaga,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails