Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Friday, October 8, 2010

Bekas mufti perlis buat rayuan

SHAH ALAM: Permohonan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan semakan kehakiman pihak pendakwaan supaya kes itu didengar di Mahkamah Tinggi, akan diputuskan 28 Disember depan.


Panel Hakim Mahkamah Rayuan Selangor yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md Yusup Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Mohd Asri selaku pemohon diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman sementara Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Halim hadir bagi pihak pendakwaan.


Mohd Asri mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 28 April lalu, yang membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada pihak pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah sebelum ini yang menolak permohonan mereka untuk memindahkan kes Mohd Asri ke Mahkamah Tinggi.


Mohd Asri, yang menghadapi tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah, membuat permohonan itu mengikut Seksyen 67 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang dibaca bersama Seksyen 167 Enakmen Tatacara Jenayah Negeri Selangor 2003. Pada 18 November tahun lalu, beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman di Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang antara 8.10 malam dan 9.45 malam 1 November tahun lalu.


Mohd Asri didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Terdahulu, dalam hujahannya Kamar Ainiah berkata pada peringkat ini, kekhilafan atau kesilapan dalam keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi bukan menjadi isu tetapi persoalannya ialah permohonan anak guamnya adalah permohonan yang melibatkan kepentingan awam.


Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan permohonan semakan itu tetapi ia tidak diluluskan dengan arahan supaya pihaknya memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terlebih dahulu.


"Dalam mendapatkan kebenaran untuk merayu, persoalan tentang kepentingan awam perlu wujud dan pada pendapat saya persoalan itu memang wujud dalam rayuan anak guam saya," katanya.


Kamar Ainiah berkata, hujahan pihak pendakwaan semasa semakan kehakiman bahawa ketua pendakwa syarie mempunyai kuasa mutlak untuk memindahkan mana-mana kes ke Mahkamah Tinggi mempunyai impak yang besar dan luar biasa kepada kes-kes akan datang.


"Keputusan hakim Mahkamah Tinggi juga beri impak sangat besar kepada kepentingan awam dan hak tertuduh di luar sana bila kuasa mutlak terletak di tangan setiap ketua pendakwa syarie untuk pindah kes pada bila-bila masa atau pada mana-mana peringkat prosiding.


"Kuasa hakim dicantas walhal mahkamah adalah satu-satunya tempat orang awam dapat perlindungan dan keadilan," katanya.



Abdul Shukor pula berhujah di bawah kedua-dua peruntukan Seksyen 67 dan Seksyen 167 itu, terdapat frasa atau perkataan yang menyebut bahawa menjadi budi bicara hakim dalam menentukan sesuatu permohonan rayuan.


"Permohonan beri kuasa kepada hakim sama ada untuk terima atau tidak terhadap sesuatu permohonan merayu. Ia bukanlah bersifat mandatori. Mahkamah juga ada kuasa untuk menolak permohonan jika didapati isu-isu yang ingin dibangkitkan di peringkat rayuan tidak mengikut kehendak prosedur.


"Isu sama ada perkara-perkara atau isu rayuan yang hendak dipohon sama ada telah disentuh atau dibincang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi, jadi tidak boleh dijadikan alasan dalam kebenaran merayu," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails