Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Saturday, October 9, 2010

Ribut besar di senawang

SEREMBAN: Lebih 50 rumah di Taman Satria di Senawang rosak dipukul ribut petang tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, sebahagian besar rumah berkenaan rosak teruk selepas bahagian bumbung rumah diterbangkan ribut manakala yang lain rosak kecil di beberapa bahagian.

Seorang penduduk Mohamad Hasan, 67, berkata dia terkejut sebaik saja diberitahu oleh jiran rumah anaknya bahawa berlakunya kejadian ribut di kawasan itu.


Dia yang tinggal di Ampangan bergegas ke tempat kejadian berikutan anaknya yang tinggal di situ sedang bekerja.


"Ini pertama kali berlaku dan saya tengok banyak yang rosak dengan keadaan dalam rumah dipenuhi air. Tak tahulah berapa kos kerugian yang perlu ditanggung," katanya.


Nora Samsudin, 42, pula berkata dia dimaklumkan oleh anaknya melalui telefon bahawa bumbung rumahnya diterbangkan angin dan keseluruhan rumahnya dimasuki air hujan.


"Saya tengah kerja tiba-tiba anak saya telefon, jadi saya terus balik ke rumah dan melihat suasana kecoh di Taman Satria apabila ramai penduduk yang keluar.


"Sebelum ini memang pernah berlaku kejadian ribut di sini, tapi rumah saya tidak pernah kena. Harapan bantuan akan sampai kerana banyak yang perlu dibaik pulih dan dikemaskan," katanya.


Ketua Umno Cawangan Taman Satria, Mohd Ghazali Wahid berkata taman perumahan itu pernah beberapa kali ditimpa kejadian yang sama.


"Tapi kali ini paling buruk kerana rumah yang terlibat lebih daripada 50 buah dan bangunan kemudahan taman juga rosak teruk. Barangkali kawasan taman ini agak tinggi menyebabkan beberapa kali berlaku kejadian ribut. Macam hari ini waktu hujan lebat, tapi sebelum ini pernah berlaku ketika cuaca baik," katanya.


Katanya pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan bantuan bagi membaiki rumah yang rosak. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails