Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Thursday, October 28, 2010

Tiada diskriminasi kaum di Malaysia

PUTRAJAYA 27 Okt. - Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh yakin sistem yang diamalkan di Malaysia mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan masyarakat keturunan India.

Keyakinan itu diluahkan oleh Dr. Manmohan apabila menjawab pertanyaan seorang wartawan dari negaranya bahawa kononnya wujud diskriminasi Kuala Lumpur terhadap masyarakat India di sini.

"Malaysia adalah negara berbilang kaum, etnik dan demokrasi yang menghormati asas-asas hak asasi rakyatnya.

"Saya tidak ada sebab untuk berasa khuatir terhadap masa depan masyarakat India dalam negara yang hebat ini," kata beliau pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Dr. Manmohan yang tiba di sini semalam dalam lawatan rasmi tiga hari sebelum itu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Najib di Bangunan Perdana Putra.

Dalam pada itu, Najib berkata, Kuala Lumpur mengendalikan isu dalaman negara secara positif.

"Saya tidak fikir saya akan mengulasnya dan ia bukan perkara yang kami berdua bincangkan antara dua negara seperti mana kami menghormati apa yang berlaku di India, India juga (harus) menghormati apa yang kami lakukan di negara ini," kata beliau.

Sementara itu, Dr. Manmohan ketika ditanya mengenai minat negaranya terhadap sistem perbankan Islam berkata:

"Memang ada dari semasa ke semasa permintaan bahawa perlu diperkenalkan sistem perbankan Islam ini dan saya akan mencadangkan kepada Bank Pusat India untuk melihat apa yang berlaku (perjalanan sistem itu) di Malaysia,'' kata beliau.

Najib pula memberitahu, Malaysia telah memberi lesen menjalankan perkhidmatan bank komersial kepada sebuah konsortium bank di India dan mereka bersedia memulakan operasi di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails