Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Saturday, October 9, 2010

Muhyidin akur kehebatan Ku Li

SYDNEY 8 Okt. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah calon paling layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘‘Kita mengiktiraf kewibawaan beliau. Siapakah orang yang lebih layak kalau tidak Tengku Razaleigh khususnya di Gua Musang, selain politik di peringkat nasional?

‘‘Jawapannya yang Pas pun tahu ialah Ku Li,” kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri adalah dalam rangka lawatan rasmi ke Australia selama lima hari. Selain Sydney, beliau juga akan ke Melbourne untuk merasmikan Rumah Malaysia dan bertemu komuniti dan pelajar Malaysia.

Muhyiddin berkata, calon BN akan diumumkan pada 24 Oktober ini selepas mengadakan perbincangan dengan Tengku Razaleigh dan pemimpin UMNO Kelantan yang lain.

‘‘Kita sudah ada senarai nama dan kita pun sudah dapat maklumat tentang latar belakang beberapa personaliti yang dianggap sesuai,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon pada 26 Oktober ini manakala pengundian 4 November.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur akibat barah usus pada 27 September lalu.

Menurut Muhyiddin, sejak ada ura-ura untuk meletakkan tokoh UMNO itu di PRK Galas, Pas berasa gundah-gulana, bimbang dan takut jika ia menjadi kenyataan.

Mengenai persiapan Barisan Nasional (BN), katanya, beliau telah meminta UMNO Kelantan dan ibu pejabat parti untuk membuat persediaan yang perlu.

‘‘Boleh dikatakan kita akan serahkan sebahagian besar tugas ini kepada kepemimpinan Gua Musang sendiri dan Tengku Razaleigh ialah orang yang paling berpengaruh dan berpengalaman dalam hal ini,” tambahnya.

Muhyiddin turut menolak apa yang beliau istilahkan sebagai putar belit pembangkang, kononnya cadangan pemilihan Tengku Razaleigh adalah untuk menutup isu tuntutan royalti dan membunuh karier tokoh itu.

‘‘Saya tidak fikir begitu,” katanya sambil menengaskan PRK Galas sebenarnya membuka peluang kepada BN dan UMNO untuk merampas semula kerusi itu selain menjawab segala tuduhan pembangkang sepanjang kempen.

Apa yang penting, kata Muhyiddin, adalah untuk menemui pengundi dan menjelaskan perkara sebenar.

Bagi beliau, tumpuan antara lain ialah di kawasan utama iaitu pengundi Melayu, diikuti komponen pengundi terbesar iaitu masyarakat berketurunan Cina sebanyak 22 peratus dan diikuti oleh Orang Asli.

‘‘Tiga profil pengundi yang berbeza ini mungkin menuntut kita untuk menggerakkan program yang berbeza sedikit dari segi strategi,” katanya.

Tapi apa sekali pun, yang mustahak kepada BN dan UMNO adalah meyakinkan pengundi bahawa UMNO akan terus dan tetap berupaya membantu mereka, tegas Muhyiddin.

Bagi beliau, kawasan DUN itu sebenarnya ialah kawasan BN yang pada pilihan raya umum lalu, BN hanya kalah kira-kira 600 undi.

‘‘Sebab itu kita yakin kalau strategi betul dan kita rapatkan kepemimpinan di peringkat bahagian untuk mengatur dan menggerakkan langkah yang agak berkesan, saya percaya kita mampu menang,” katanya.

Galas ialah satu-satunya DUN dalam Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh pakatan pembangkang. Dua lagi DUN ialah Nenggiri dan Paloh dimenangi oleh BN.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, BN tidak kisah calon yang akan diletakkan oleh Pas kerana yang penting sama ada pengundi boleh menerima calon tersebut atau pun tidak.

‘‘Kita tidak mahu merendahkan sesiapa sahaja kerana bagi kita, setiap pilihan raya adalah penting,” katanya sambil menambah sesiapa sahaja yang diletakkan oleh parti lawan tidak boleh dipandang rendah oleh BN.

Ditanya tentang isu istana Kelantan baru-baru ini yang mungkin akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil di Galas, beliau berkata: ‘‘ Saya percaya ia berpandu kepada apa yang pengundi mahu di situ. Saya tidak kata tiada kesan, mungkin ada (kesan) yang sebaliknya,”

Katanya, berdasarkan pengalaman di Manik Urai, walaupun pada waktu itu dikatakan susah hendak memang tapi keputusannya BN kalah tipis dengan 65 undi.

Beliau percaya peluang menang di Galas lebih besar kerana kawasan itu terletak dekat dengan Manik Urai dan BN sudah masak dengan kehendak pengundi.

‘‘Lebih istimewa lagi, Tengku Razaleigh ialah orang lama yang begitu dihormati oleh semua kaum di situ. Jadi saya rasa kita masih boleh memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Mengenai wang ehsan, Muhyiddin menjelaskan, BN akan menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

“Sama ada wang ehsan, royalti minyak atau isu lain kita akan ambil sikap berhadapan dengan mereka secara berdepan, secara anak jantan. Kita tidak mahu sembunyi masalah di bawah permaidan. Itulah sikap kita,” tegasnya.

1 comment:

  1. PRK Galas Harapan BN semakin cerah.....Tengku Razaleigh akhirnya menerima pencalonan....berita seterusnya sini

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails