KUALA LUMPUR 18 Okt. - N. Pathmanabhan, tertuduh utama dalam kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan adiknya, N. Surendran kini tidak lagi dibenarkan bertindak sebagai peguam cara dan peguam bela.
Ketetapan itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini yang menolak dengan kos permohonan mereka untuk mengetepikan keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang membatalkan keahlian mereka sebagai peguam berdaftar setelah didapati terlibat dalam perbuatan salah laku.
Aduan kepada Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam dibuat oleh ahli perniagaan, M. Rajeanteran setelah mendapati kedua-dua adik beradik itu melakukan salah laku ketika mengendalikan urusan perjanjian jual beli rumah milik seorang wanita di Banting, Selangor yang hendak dibeli olehnya.
Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan bersama tiga pekerja ladangnya termasuk seorang remaja berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga rakannya.
Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan menolak notis usul kedua-dua beradik terbabit selepas beliau mendengar hujahan kedua-dua pihak di kamar beliau.
Beliau turut memerintahkan supaya pemohon-pemohon membayar kos RM5,000 kepada Rajeanteran yang dinamakan sebagai responden dan jumlah yang sama kepada Majlis Peguam.
Keputusan tersebut dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam T. Rajasekaran yang mewakili Rajeanteran dan peguam Biliwi Singh bagi pihak lembaga tatatertib tersebut.
Rajeanteran pada mulanya mengemukakan aduan kepada Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam setelah mendapat tahu bahawa Pathmanabhan bukannya seorang peguam ketika menguruskan perjanjian jual beli sebuah rumah di Banting daripada seorang wanita, Sabariah Mahamod.
Menurut Rajeanteran, ketika perjanjian itu ditandatangani oleh Pathmanabhan bertarikh 14 Disember 1998, kedua-dua beradik terbabit belum lagi diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Tinggi Malaya.
Pathmanabhan hanya diterima masuk pada 15 Disember 1999 manakala adiknya pada 10 Disember tahun yang sama.
Atas faktor tersebut, Rajeanteran telah mengemukakan aduan kepada lembaga tersebut pada 26 Ogos 2003 bahawa mereka berdua telah memperkenalkan diri kepadanya sebagai peguam cara di bawah firma guaman, Mohana & Co. di Banting.
Mereka kemudiannya menyediakan satu perjanjian jual beli atas nama Sabariah untuk pemegang geran di Lot 373, Seksyen 3, Bandar Banting, Kuala Langat.
Bertindak atas aduan tersebut, lembaga itu mendapati mereka berdua terlibat dalam perjanjian jual beli dan telah menandatangani dokumen itu dengan menyamar sebagai peguam cara dan peguam bela pada Disember 1998 sedangkan mereka ketika itu belum diterima masuk sebagai peguam.
Lembaga juga mendapati mereka telah mengemukakan Surat Kuasa (Power of Attorney) palsu untuk memberikan gambaran bahawa kedudukannya kekal dan selamat.
Setelah menimbangkan laporan daripada tribunal penyiasatan bertarikh 18 September 2009 dan mendapati mereka tidak jujur, lembaga tatatertib itu telah membatalkan nama mereka daripada Daftar Peguam Bela dan Peguam Cara.
Dalam permohonan kedua-dua beradik itu, mereka memohon perintah Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam tersebut digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan notis usul tersebut.
Menurut pemohon, perintah tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana tidak mematuhi Seksyen 103 D(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Ini kerana, dakwa mereka, lembaga terbabit tidak menyatakan sama ada ia menerima atau menolak keputusan atau syor yang dibuat oleh sebuah jawatankuasa tatatertib.
No comments:
Post a Comment