NEW DELHI: Ratu pecut Sukan Komanwel ke-19, Osayemi Oludamola dari Nigeria, didapati mengambil dadah perangsang selepas gagal dalam ujian dadah.
Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Michael Fennell berkata Osayemi didapati positif menggunakan dadah terlarang jenis "methylhexaneamine", sebuah ubat perangsang kelas S6.
Katanya, ujian kedua akan dijalankan hari ini.
"Malangnya, saya perlu melaporkan bahawa kita ada keputusan positif berhubung pemenang acara 100 meter wanita Osayemi dari Nigeria," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, pelari wanita itu sudah dimaklumkan mengenai hasil keputusan mengikut prosedur standard anti-doping yang diguna pakai dalam temasya ini.
Fennell berkata, pelari itu meminta supaya ujian sampel B dilakukan.
"Tidak ada keputusan mengenai pingat emas yang dimenanginya sehingga ujian kedua dilakukan," katanya.
Pada perlumbaan akhir Khamis lalu, Osayemi diberikan pingat emas selepas kemenangan pelari pecut Australia Sally Pearson dibatalkan kerana melakukan kesilapan di garis permulaan.
Pearson menjadi atlet pertama Australia sejak 36 tahun memenangi acara itu dengan catatan 11.28 saat, manakala Osayemi menduduki tempat kedua dengan masa 11.32 saat.
Pingat perak pula diserahkan kepada Natasha Mayers dari St Vincent dengan catatan masa 11.37 saat dan gangsa diserahkan kepada Kathryn Endacott dari England.-Bernama
No comments:
Post a Comment