SHAH ALAM – Rakyat asing yang menjadikan Malaysia sebagai transit menggunakan pasport palsu telah menjejaskan nama baik Malaysia dan rakyatnya, kata Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata demikian semasa menolak rayuan dua warga China berhubung hukuman terhadap mereka atas dua tuduhan memiliki pasport palsu dan memasuki negara ini secara haram.
Katanya, mahkamah mengetahui mengenai amalan yang agak meluas dilakukan oleh rakyat asing yang menyalahgunakan usaha Malaysia memberi layanan istimewa untuk ke negara lain.
"Oleh itu, mahkamah tidak dapat menutup sebelah mata dan melayan hasrat perayu untuk hukuman yang lebih ringan.
"Sebenarnya Hakim Mahkamah Sesyen telah melaksanakan budi bicaranya dengan betul dan ia merupakan undang-undang yang biasa digunakan dalam sesuatu keadaan, dan dalam menjalankan bidang kuasanya Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya campur tangan dengan keputusan itu,” katanya.
Pada 10 Ogos tahun ini, Liu Ching Chung, 21, dan Huang Cheng Ho, 31, dihukum penjara 12 bulan kerana memiliki pasport palsu dan tiga bulan penjara lagi dan tiga sebatan kerana memasuki negara ini secara haram. – Bernama
No comments:
Post a Comment