GEORGETOWN - Seramai 46 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam yang dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.40 malam itu polis turut menahan dua wanita warga tempatan yang bekerja sebagai GRO di situ.
"Daripada jumlah itu, 31 adalah dari China dan 15 warga Vietnam manakala dua rakyat tempatan. Semua mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan ketika sibuk melayan pelanggan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, ada di antara mereka yang ditahan itu tidak memiliki pas perjalanan, melanggar syarat pas lawatan sosial dan syarat premit pekerja.
Katanya, dalam Ops Noda itu, polis turut menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga di premis itu dan empat wanita warga tempatan yang bertindak sebagai 'ibu ayam' kepada kesemua gro berkenaan.
"Polis turut memeriksa dan mengambil keterangan 28 pelanggan yang berada di premis hiburan berkenaan," katanya.
Wan Abdullah berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap pemilik premis hiburan berkenaan kerana menggaji dan melindungi warganegara asing. - Bernama
No comments:
Post a Comment