Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Monday, August 23, 2010

15 saksi doa Lim Guan Eng

PULAU PINANG 22 Ogos – Polis negeri telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu khatib yang didakwa menggunakan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa khutbah kedua solat Jumaat di beberapa masjid, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, seramai 15 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu setakat ini yang dijangka selesai minggu hadapan.

Katanya, pihaknya juga akan memanggil beberapa personaliti untuk direkod kenyataan mereka dalam masa terdekat.

Beliau turut mengesahkan sebanyak dua laporan telah dibuat untuk kes itu dengan masing-masing di Balai Polis Butterworth dan Balai Polis Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.

“Beberapa kenyataan saksi yang dirakamkan mengesahkan kejadian itu berlaku. Jangan ingat polis tidak pantau perkara-perkara itu dan kita juga terima maklumat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada sidang akhbar sama, beliau turut menunjukkan bukti gambar seorang khatib sedang menyampaikan khutbah menyebut nama Guan Eng semasa solat Jumaat di sebuah masjid.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4 A Akta Hasutan 1984 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, siasatan awal mendapati, kedua-dua kejadian itu dilakukan oleh khatib jemputan yang sama.

“Salah satu laporan yang dibuat mengatakan kejadian berlaku sewaktu khutbah sembahyang Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora, Jun lalu,” katanya.

Katanya lagi, kejadian terbaru pula berlaku di Masjid Kubang Buaya, Butterworth pada 20 Ogos lalu yang membacakan doa seperti berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku, Kau Selamatkanlah Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.”

Dalam pada itu, Ayub mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan peluang diberikan kepada mereka untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat.

“Peranan yang sepatutnya dimainkan oleh masjid adalah untuk mengurangkan gejala sosial dan menyatupadukan rakyat. Oleh itu mereka yang dipertanggungjawabkan wajar menjalankan amanah yang diberi itu dengan etika,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails