Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Sunday, August 29, 2010

Alhamdulillah: Tol percuma sempena merdeka dan diskaun hari raya aidilfitri













GEMAS 28 Ogos - Sempena ulang tahun ke-53 kemerdekaan negara, empat syarikat konsesi lebuh raya negara bersetuju memberi diskaun 20 peratus manakala sebuah lagi syarikat konsesi iaitu Lingkaran Transkota Sdn Bhd (LITRAK), memberi laluan tol percuma kepada pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, tol percuma untuk pengguna LDP akan bermula dari jam 12.01 pagi 31 Ogos sehingga tengah malam hari kemerdekaan.

Katanya, tol percuma ini diberi kepada semua jenis kenderaan termasuk kenderaan perdagangan seperti teksi, bas dan lori.

''Sebanyak 450,000 kenderaan yang menggunakan LDP bakal menikmati pemberian tol percuma itu," katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan Ramadan Parlimen Tampin dan UMNO Bahagian Tampin di Kampung Bangkahulu, Gemas hari ini.

"Ini merupakan julung kali sebuah syarikat konsesi memberi tol percuma kepada rakyat negara ini dan langkah ini diharap menjadi ikutan syarikat-syarikat konsesi yang lain," kata Shaziman.

Sementara itu, tiga syarikat konsesi lain iaitu Plus Expressway Berhad (Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Linkedua Sdn Bhd (Johor Baharu ke Singapura) serta Elite Sdn Bhd (Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah) bersetuju memberi diskaun 20 peratus pada 31 Ogos dan 1 September ini.

Shaziman berkata, pemberian diskaun tol itu hanya untuk pengguna lebuh raya kelas pertama sahaja (kereta persendirian).

Diskaun 20 peratus itu hanya akan diberi kepada pengguna yang melalui lebuh raya berkenaan dari jam 12 tengah malam hingga 7 pagi pada 31 Ogos dan 1 September.

"Hari siang iaitu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam tidak akan ada diskaun," katanya.

Diskaun itu bersifat 10+10 peratus kerana pengguna lebuh raya berkenaan sudah sedia menikmati diskaun sebanyak 10 peratus jika melalui lebuh raya itu pada tengah malam.

Katanya, bagaimanapun di lebuh raya Linkedua yang menghubungkan Johor dan Singapura, diskaun itu tidak akan dinikmati oleh pengguna lebuh raya yang memasuki Tol Tanjung Kupang.

Ketika ditanya sebab masih ada syarikat yang tidak memberi diskaun, beliau menjawab: "Ini baru langkah pertama, kita tidak boleh memaksa mereka. Lama kelamaan syarikat lain akan mengikuti jejak langkah yang diambil oleh keempat-empat syarikat ini."

Beliau berkata, langkah itu juga merupakan salah satu cara untuk syarikat-syarikat konsesi menunjukkan sokongan mereka kepada rakyat Malaysia selepas mendapat banyak keuntungan daripada perjalanan yang dibuat oleh mereka.

"Kita berharap diskaun yang sama akan diberi semasa cuti perayaan pada Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails