Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Saturday, August 28, 2010

Amaran kuning: Warga Malaysia perlu berhati-hati di Indonesia

PASIR GUDANG 28 Ogos – Lebih daripada 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia diarah berwaspada dan berhati-hati berikutan gerakan anti-Malaysia yang dianjurkan oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di negara itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya telah mengeluarkan arahan tersebut kepada semua pelajar tempatan di Indonesia melalui Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta.

"Kementerian memantau situasi itu dan setakat ini tidak ada laporan pelajar kita menjadi mangsa gerakan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah dan ibu tunggal di Bandar Seri Alam dekat sini hari ini.

Khaled yakin kerajaan Indonesia akan melakukan yang terbaik untuk menjamin keselamatan semua pelajar Malaysia.

Beliau juga percaya bahawa pelajar terbabit mampu menangani sendiri situasi tegang tersebut melalui pelbagai persatuan mahasiswa.

Bendera baru-baru ini dilaporkan berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, di mana bahagian penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguat kuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.

Tahanan kedua-dua belah pihak itu telah dibebaskan pada 17 Ogos lepas. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails