Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Sunday, August 29, 2010

Kita tak lembut

PEKAN 28 Ogos - Malaysia tidak pernah berlembut dalam menangani isu demonstrasi melibatkan sekumpulan rakyat Indonesia yang mencemarkan kedaulatan negara di Jakarta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, berikutan itu, beliau mahu pemerintah Indonesia mengambil langkah- langkah perlu bagi membendung insiden di negara itu daripada berlarutan.

Beliau mengingatkan bahawa jika demonstrasi tersebut berlarutan, ia mungkin menimbulkan kemarahan dan reaksi negatif rakyat negara ini.

''Tidak, kita tidak berlembut dalam soal ini. Apa yang penting adalah tindakan pihak berkuasa Indonesia untuk tidak membiarkan perkara ini berlarutan terutama sekali terhadap mereka yang melakukan demonstrasi, kawalan di Kedutaan Malaysia dan apa-apa tindakan lain yang perlu diambil pemerintah Indonesia.

''Kita boleh jamin bahawa kita akan kawal keadaan di Malaysia tetapi kalau keadaan di Indonesia keterlaluan sangat, ia akan menjadi satu yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia. Kalau berterusan, ia akan mengundang reaksi daripada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB), Tanam Semula Komersial (TSK) dan zakat RISDA di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan sebuah pertubuhan di Indonesia, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang berazam meneruskan perjuangan mereka dan tidak akan berhenti daripada melakukan protes terhadap Malaysia.

Isnin lalu, sekumpulan rakyat Indonesia bertindak memijak Jalur Gemilang dan melemparkan najis manusia ketika berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Najib memberitahu, beliau telah menerima sepucuk surat daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berhubung isu yang sedang berlaku itu.

''Saya belum tengok lagi apa isi kandungannya tetapi saya percaya ia melahirkan rasa dukacita Indonesia terhadap apa yang berlaku.

''Apa yang penting adalah kita tidak biarkan perkara ini menjadi satu yang merosakkan hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia.

''Hubungan ini saling menguntungkan dan Indonesia pun faham bahawa mereka mempunyai dua juta pekerja mereka di Malaysia dan banyak pelaburan Malaysia di Indonesia yang memberi faedah kepada perkembangan ekonomi mereka,'' katanya

Beliau berkata, kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dan tidak akan membiarkan perkara itu menjadi satu yang boleh mengancam hubungan dua hala.

Ditanya tindakan pihak media Indonesia yang sering memperbesarkan isu berkaitan soal pekerja mereka di Malaysia, Najib menjelaskan, pihak berkuasa Malaysia sentiasa menangani isu yang timbul itu mengikut undang-undang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails