Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Thursday, August 19, 2010

Jangan layan desakan MCA

SHAH ALAM 17 Ogos - Pemimpin MCA perlu bersikap lebih realistik dalam membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan terutama yang melibatkan soal pengurangan pemilikan ekuiti 30 peratus bumiputera.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak seharusnya mempertikaikan dasar tersebut memandangkan kaum-kaum lain termasuk kaum Cina memiliki peratusan pemilikan ekuiti lebih besar iaitu 70 peratus.

Malah katanya, masyarakat Cina juga menguasai lebih 42 peratus ekonomi dalam pelbagai sektor di negara ini setara dengan warga asing yang mencatatkan kadar penguasaan pada kadar 28 peratus.

Katanya, kadar tersebut jauh lebih tinggi berbanding penguasaan ekonomi serta pemilikan ekuiti bumiputera pada masa ini yang hanya mencatatkan 18 peratus manakala masyarakat India sebanyak 12 peratus.

''Jadi tuntutan MCA supaya kerajaan mengurangkan kuota ekuiti bumiputera 30 peratus atas alasan untuk meningkatkan keupayaan merit, perkembangan ekonomi dan lain-lain lagi sebenarnya tidak ada kaitan dengan pengurangan ekuiti pemilikan bumiputera.

''Jika mahu menambah peratusan pemilikan ekuiti masyarakat Cina dan ekonomi, mereka boleh mengadakan kerjasama atau perkongsian untuk mendapatkan peratusan yang dimiliki oleh sektor warga asing di negara ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, dasar 30 peratus pemilikan ekuiti dan ekonomi bumiputera bertujuan mengimbangi jurang sosial dan ekonomi antara kaum yang belum dicapai sehingga kini.

Tambah Dr. Mohamad Khir, MCA seharusnya bersikap munasabah dan tidak boleh mengatakan mahu mewujudkan dasar 'sama rata, sama rasa' kerana komposisi kaum Cina dan bumiputera sendiri pun tidak sama iaitu masing-masing 57 peratus dan 30 peratus.

Menurutnya, desakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam isu itu menunjukkan seolah-olah parti tersebut 'tamak' dan mahu menguasai keseluruhan sektor ekonomi di negara ini.

Malah MCA juga tidak memahami bahawa 30 peratus ekuiti bumiputera itu tidak hanya melibatkan orang Melayu sebaliknya dikongsi dengan bumiputera lain di Sabah dan Sarawak termasuk Orang Asli, katanya.

Dr. Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang turut membidas hujah Soi Lek yang mendakwa BN tidak sedar kehendak rakyat yang mahu peratusan ekuiti bumiputera dikurangkan dan diganti dengan pelaksanaan merit.

''Hujah Presiden MCA tidak betul kerana kehendak rakyat adalah untuk meninggikan taraf pendapatan mereka dan mengurangkan kos hidup, bukannya ada kena-mengena dengan pelaksanaan peratusan ekuiti bumiputera," tegasnya.

Tambah beliau, MCA turut memberikan pandangan yang tidak betul bahawa pelaksanaan peratusan ekuiti ekonomi bumiputera itu akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara dengan hanya merujuk pada sektor pembinaan.

Katanya, meskipun ramai bumiputera menyertai sektor pembinaan, ia tidak harus dijadikan alasan kerana ia semakin menguncup berbanding sektor pembuatan, perniagaan dan perkhidmatan yang terus berkembang dengan majoritinya dikuasai oleh masyarakat Cina dan warga asing.

Ditanya mengenai kenyataan Soi Lek semalam yang menyatakan MCA tidak takut untuk berkongsi pendirian dengan DAP dalam menjaga kepentingan dan kebajikan kaum Cina, Dr. Mohamad Khir berkata, memang itu sikap dan amalan mereka.

''Bagi orang Melayu, kita seharusnya meneliti secara tersirat perkara itu dan sedar tentang kepentingan untuk bersatu," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, orang Melayu khususnya para pemimpin politik tidak harus mementingkan diri sebaliknya mengetepikan pengaruh dendam yang menyukarkan usaha mencapai penyatuan dijayakan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails