Kalau sudi tekanlah iklan di bawah ni ya

Thursday, October 7, 2010

Anuar yang paksa saya, bang

KLANG 6 Okt. – Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua surat akuan bersumpah pada tahun 2008 bagi mempertahankan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada tuduhan liwat.

Dakwaan dibuat oleh Muhamad Rahimi Osman, 26, dalam satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dengan ditemani seorang peguam.

Beliau yang memakai baju lengan panjang putih, bertali leher merah dan berseluar panjang hitam tiba di situ dengan menaiki sebuah kereta Proton Pesona berwarna kelabu kira-kira pukul 2.35 petang.

Turut berada di dalam kereta itu ialah tiga lagi lelaki selain peguam Muhamad Rahimi.

Difahamkan, laporan polis itu berkaitan dengan dakwaan Muhamad Rahimi bahawa beliau dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah pertama yang membabitkan tuduhan liwat antara Anwar dan pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah hotel di Shah Alam.

Satu lagi surat akuan bersumpah yang dipaksa ditandatangan ialah melibatkan kes fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Old Town, Petaling Jaya.

Salah satu surat tersebut dipaksa ditandatangani dengan disaksikan peguam, Latheefa Koya.

Dalam laporannya, beliau turut meminta perlindungan daripada pihak polis kerana bimbang selepas pendedahan itu dibuat, dirinya dan keluarga akan terdedah kepada bahaya.

Selepas membuat laporan kira-kira sejam, Muhamad Rahimi dilihat keluar dari IPD Klang kira-kira pukul 3.45 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf mengesahkan menerima laporan tersebut.

Beliau berkata, kes itu akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di mana kejadian itu dilaporkan berlaku.

Dalam pada itu, tinjauan di rumah Muhamad Rahimi di sebuah kawasan di Shah Alam malam ini mendapati, beliau berada di rumah bersama beberapa ahli keluarga dan rakannya.

Bagaimanapun, beliau enggan menemui pemberita bagi mengulas lanjut mengenai sidang akhbar yang menimbulkan kekecohan petang ini.

Salah seorang rakannya memberitahu, Muhamad Rahimi akan tampil membuat kenyataan kepada media dalam tempoh terdekat atas nasihat peguamnya, S. Ravichandaran.

Ketika ditanya mengapa sidang akhbar dan laporan polis itu diadakan di Klang, rakannya itu memaklumkan, itu bagi memudahkan peguam Muhamad Rahimi yang berpejabat di daerah itu.

1 comment:

  1. Rahimi kena relak dulu sebab samseng PKR cari dia..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails